Friday, November 25, 2011

Ahmad Pisang


“Ahmad, apakah makanan kegemaran kamu?” Tanya Cikgu Bahar. Santai saja kelas hari ini tanpa sebarang sesi pembelajaran kerana peperiksaan UPSR sudah tamat. Walaubagaimanapun cuti sekolah hanya bermula semingggu lagi selepas keputusan keluar. Jadi, Cikgu Bahar lebih senang untuk bersantai-santai sahaja dalam kelas. Kadangkala beliau lebih senang membawa kelasnya ke perpustakaan untuk sesi bebas membaca. Pada masa yang sama beliau duduk di kaunter bersama Rokiah, janda anak lima yang kematian suaminya akibat radang paru-paru minggu lepas. Sekali sekala, Cikgu bahar menepuk bahu Rokiah supaya jangan terlalu bersedih dan banyakkan bersabar sedangkan Rokiah nampak sedang gembira sahaja.

“Senang je cikgu. Cokodok pisang. Lagi-lagi kalau dicicah dengan susu lemak manis Efenen. Sedap!” Balas Ahmad bangga sambil tersengih kekerangan. Jenab, budak perempuan yang duduk di meja paling depan berpaling memandang Ahmad dengan teruja. Baginya jawapan Ahmad sungguh indah. Jenab merupakan sikret edmayer Ahmad. Dulu masa hari jadi Ahmad, Jenab pernah hadiahkan sejambak bunga ros putih dan kad ucapan dengan ada kesan bibir kaler merah. Menariknya, kesan ciuman itu berbau sireh. Romantik.

“Tapi kenapa pisang? Buah lain-lain kan banyak lagi. Betik, kelapa, ciku, kedondong, durian belanda, limau bali?” Cikgu Bahar inginkan kepastian. Jarinya menggaru tengah atas kepalanya yang lompang tanpa rambut. Tidak hairanlah beliau digelar Cikgu Zidane walaupun hakikatnya beliau seorang kaki bangku. Malah hobinya pun hanya menyimpan setem sahaja. Entah apa-apa.

“Buah lain saya tak suka. Terutamanya nenas cikgu!” Tegas Ahmad. Riak Jenab makin teruja. Jarinya meramas-ramas hujung tudung di dadanya yang kian berkedut dan hampir tersimpul. Tak sabar-sabar sekali ingin mengetahui jawapan dari Ahmad.

“Hah, kenapa pula dengan nenas?” Tanya Cikgu Bahar lagi.

“Sebab bila makan nenas, nanti lidah jadi gatal-gatal. Macam makan ulat bulu” Jawab Ahmad sambil menjelirkan lidah. Gigi kapaknya yang besar dan berjarak ditengah-tengah, terjojol keluar. Gelagat Ahmad membuatkan Jenab tersenyum nipis. Comel barangkali padanya.

“Biar betul kamu ni. Takkan ulat bulu pun kamu sebat?” Cikgu Bahar perhatikan Ahmad atas bawah atas bawah. Sesekali melihat lidah Ahmad yang kekuningan kesan daripada jeruk cermai yang dimakannya sebelum masuk kelas tadi.

“Tapi saya bukan sengaja cikgu. Saya cuma letak dalam mulut, kemudian ia tiba-tiba berjalan masuk dalam trakea. Ulat tu yang salah. Bukan saya” Terang Ahmad yakin dengan penggunaan perkataan ‘trakea’nya dan sememangnya Ahmad merupakan murid yang bijak dan selalu memegang tahta nombor satu dalam kelas. Jenab pun sama, cuma dia dari kedudukan bawah.

“Kenapa tak ludahkan semula?” Cikgu Bahar runsing.

“Tak sempat. Dia jalan laju” Balasnya ringkas sambil menaikkan bahu.

“Teruk sangatlah kamu ni Ahmad. Lain kali jangan cuba makanan yang macam-macam. Macam makan semut, kamu boleh jadi senang lupa. Kalau makan nyamuk pula, kamu nanti senang kena demam denggi. Kalau ulat tak tahulah pula saya ” Nasihat Cikgu Bahar sambil menggelengkan kepalanya. Tengah kepalanya yang berkilat akibat pantulan sinar mentari menyebabkan Jenab silau dan terpaksa meneduh matanya menggunakan jari.

Bersambung bila ada kerajinan..

No comments:

Post a Comment