Tuesday, November 15, 2011
Jamban Paling Kool
Dulu zaman kecil, gua hidup serba kekurangan. Rumah memang kecil, bilik tidur satu untuk mak bapak gua manakala kami sepuluh beradik berhamburan dalam kelambu-kelambu beralaskan toto, katil apatah lagi. Nama menu makanan pun jenis kecil-kecil saja. Pucuk paku rebus, kangkung goreng, ikan temenung goreng, telur goreng dan gulai ikan ataupun ayam masak kicap jika minggu gaji. Ayam Kentaki, Mekdonel, Pizahat haram gua tak boleh pekena. Tony Romas dengan Chilis jauh sekali. Tapi gua faham keadaan, jadi gua tak minta-minta seperti budak zaman urban sekarang. Habis penat main PSP atau menari shafel, terus minta makanan macam-macam. Gua dengki tapi gua redha.
Dalam semua serba kekurangan, benda yang gua rasa paling kureng ialah jamban rumah gua. Nun diluar 20 meter, turun bukit belakang rumah, bawah pokok durian. Binaannya papan dengan susunan papannya tidak kemas dan terdapat ruang-ruang yang cahaya matahari tembus bila pekena waktu siang. Sudutnya pula condong 30 darjah kekanan. Gua syak babi hutan yang punya kerja kasi condong. Atapnya bocor-bocor akibat terjahan buah-buah durian. Walaubagaimanapun, struktur masih kukuh dan boleh digunakan. Malah ia masih tetap nampak hebat daripada tiada langsung.
Oleh demikian, sakit perut adalah benda paling malas gua nak hadapi. Pekena siang gua takdehal. Gua memang dilahirkan berani. Lagipun sinaran suria yang tembus masuk, bikin satu keadaan yang sungguh menawan seperti lu orang sedang bersantai di pantai Bora-Bora dengan cahaya menembusi pokok-pokok kelapa menerjah sekeliling. Cool.
Kadangkala, dari dalam jamban gua boleh usha sekeliling ikut celah-celah papan. Boleh nampak Encik Napiah jiran sebelah yang disuruh isterinya mengerat daun pandan untuk dibuat nasi lemak. Bini Encik Rosli yang tengah mencakar daun kering pokok rambutan dibelakang rumah. Boleh nampak anak dara Encik Ghani main masak-masak bawah pokok nangka. Seronok juga. Tapi, adakalanya gua terpaksa duduk diam-diam kerana geng-geng Sudin dan Ajis tengah melastik burung berkeliaran sekeliling jamban gua. Jatuhan najis pun terpaksa dikawal bagi mengelak dari berbunyi ‘pelepuupp’ kuat hingga kedengaran dari luar. Cilaka.
Tapi bila perut buat hal tengah malam, itu benda paling tak cool. Pertama, gua kena cari lilin untuk sumber cahaya. Turun bukit tengah malam gelita sambil usung baldi penuh air ni bukan kerja sebarangan. Silap langkah boleh terpelangkuk juga dibuatnya. Kedua, gua kena cari orang untuk temankan gua. Kerja tukang teman ni tak payah, hanya duduk elok-elok depan pintu belakang rumah dengan cekal.
Gua setting lilin cun-cun depan kaki kiri belakang pintu jamban sebab belah kanan adalah untuk laluan pergerakan mencebok. Kemudian, gua biarkan pintu terbuka sedikit untuk gua usha kelibat tukang teman. Nyamuk ketika ni memang akan berpesta sakan seperti kenduri. Habis kedua-dua pipi punggung gua dicucuk-cucuk. Tangan gua kiri kanan menepis menampar. Lagak bayangan gua jikalau dari luar seperti orang berlatih silat pada malam hari. Pada masa sama, selang 1 minit gua tak lupa usha luar tengok tukang teman. Jikalau kelibatnya kaku, gua akan jerit panggil sampailah sahutan gua dijawab semula tanda masih bernyawa.
Banyak taktik boleh pakai jika nak hilangkan rasa takut. Pertama, gua akan menyanyi. Lagu Ibu dari Mamat Exist dengan Isabela dari Amy Search selalu jadi mangsa. Kadangkala lagu negeri Pahang pun jadi. Jika semua lagu ni habis dinyanyi tapi kerja gua belum selesai, gua terpaksa menyanyi tanpa perkataan. Hanya melodi yang keluar. Ingin bersiul takut ular pula yang datang. Nak berzanji, takut bapak gua pula baling parang. Tak kisah, janji ada bunyi dan tak sunyi.
Okay, sebenarnya gua terfikir nak tulis pasal jamban ni semenjak gua pekena jamban dalam gambar di atas. Itu masa gua diving di Pulau Pom Pom, Semporna baru-baru ini. Sepanjang detik gua pekena itu hari, gua mengelamun kembali kenangan jamban rumah gua dulu-dulu. Manakala ikan-ikan bermacam kaler sibuk menghargai najis-najis gua tika itu. Perahu-perahu nelayan gua tak endah dibiarkan. Cahaya bulan kadangkala sebagai peneman. Ah! Tidak ternilai.
Laluan ke jamban. Amacam, selera tak?
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Jak, pokok durian ke pokok belimbing? Akak rasa pokok belimbingla, sebab tu selalu jamban kita tersumbat, sebab belimbing besar2 yang tak semapt akak jual kat sekolah, dah jatuh tergolek ke bawah bukit dan menyebabkan kita tak dapat nak menunaikan hajat buat seketika. Tak pun, pokok belimbing zaman akak kot, zaman hang abah dah tanam pokok durian. Mungkin.....
ReplyDelete