Sunday, September 26, 2010

Raya 2010

Raya 2010 ni tak banyak yang spesial kecuali gua mula beraya sebagai seorang insan berkerjaya. Kalau dulu, kepala sibuk berharap berapa banyak angpau akan dapat. Kali ini, kepala pening berapa banyak angpau akan kena songlap. Balik kampung pun tak banyak benda yang gua boleh buat selain meraksasakan diri bertempur dengan anak-anak buah disamping melarikan diri daripada anak-anak dara. Gua kan kerja ‘obesi’, itu pasal agak ramai anak dara datang beraya rumah gua. Anak Mail Lembu, anak Halim Sirih, anak Lebai Man, anak Man Dela, anak Tapa Kunyit dan beberapa anak orang kampong lain yang gua tak berapa cam. Maklumlah, dulu-dulu lap hingus yang meleleh pun gunakan lengan baju, takkan gua ada hati nak kawan bukan? Main masak-masak pun asyik menunya nasi goreng dan mee goreng saja. Gua yang acah-acah berlakon jadi suami pun boleh naik gila. Boring. Baik gua kawan dengan Sudin dan Keri. Dapat juga belajar buat terjun tiruk dan balik kuak sambil bogel-bogel mandi sungai di Jambatan 1 (gelaran oleh kami sebab ia jambatan pertama dari kampung gua untuk keluar ke jalan besar yang semuanya ada tiga jambatan).

Sudahlah masing-masing berkebaya belah-belah sampai nampak aurat betis kaki hinggalah ke zon aurat belakang kepala lutut. Keladak daki pun dah kurang dibandingkan dulu-dulu. Mekap pun ada ‘up’ sikit. Kalau dulu hanya shopingan pasar malam, kini dah mula berjinak pada SilkyGirl, SimpliSiti, Sakinah Visage, Esketu dan macam-macam. Bibir pun dah pandai pekena ‘Lip ais’. Suatu ketika, beberapa orang anak dara yang berpakaian sehingga terpancarnya saluran lurah dada pun turut datang beraya rumah gua. Apa lagi, tanpa berlengah, gua terus start motor pergi sembahyang Jumaat di masjid sucikan diri. Tugas melayan tetamu, gua pas kat mak gua. Dua adik lelaki gua yang mulanya ingin mengaku musafir, terpaksa hilang hukum marhalahnya sebab mak gua kasi arahan suruh bergegas ke masjid sambil tangannya pegang pisau Ikea yang baru dibeli sempena raya untuk memotong ketupat.

Bab kuih raya kat rumah gua, semua jenis tunjuk-tunjuk sahaja. Gua sumbang kek lapis. Itupun kira sudah cukup ‘rare’ untuk kalahkan popularity kuih tat nenas, makmur, samperit, batang buruk, konfleks mahupun elmen landen. Tapai, yang selalunya hidangan wajib setiap raya rumah gua, tapi malangnya kali ini tiada kerana tempat tapai diambil alih oleh soto dan bihun sup. Mak gua kata dia takda mood nak bikin. Mahunya tidak? Belum sempat daun-daun pisang mula dilayur api, semuanya dah dijadikan atap kepada khemah-khemah cucu-cucunya. Jikalah proses membuat tapai itu ada 70 pantang larang, gua jamin semuanya akan dilanggar buta-buta. Konfem! Mungkinlah satu pantang yang selamat, iaitu pantang ‘dilarang memakai baju kaler merah semasa membuat tapai’. Itupun mujur sebab cucu-cucunya adalah jenis yang tidak berbaju ketika ber’kompang’ menggunakan talam, men’dayung’ menggunakan senduk, dan berpura-pura menjadi seekor kura-kura menggunakan tudung saji yang ber’senjata’kan sudu dan garfu. ‘Peluru’nya kadangkala kuih raya. Manakala, ‘perisai’nya tak lain tak bukan semetinya tudung periuk. Siapa kata kanak-kanak sekarang tidak kreatif? Malangnya, Rosmah sahaja yang tak pernah berkunjung ke rumah gua. Kalau tidak, kesepuluh-kesepuluh (5 orang tidak balik akibat beraya di Labuan) anak buah gua ini senang-senang saja diterima masuk sekolah Permata di Bangi. Tak perlu pandai main piano pun untuk nampak cerdik! Belum lagi luorang tengok depa main pasir. Setakat Istana Buckingham, Angkor Wat, Burj Dubai, Taipei 101, ataupun rumah agam Khir Toyo, selamber depa bina gua tangan kiri sambil tangan kanan pegang aiskrim Koneto.

Selain jenama-jenama mekap anak-anak dara dan pemakaian Lipglos , banyak benda lain yang gua perasan boleh menggambarkan taraf kampung gua kian maju. Sebelum sembahyang raya bermula, gua terpaksa berdiri ditangga masjid akibat datang agak lambat ke masjid. Masjid penuh. Bukan apa, cuba lu orang bayangkan luorang dalam situasi gua ini; “Sebuah rumah kampung yang berpenghuni hampir mencecah 30 orang, hanya mempunyai satu tandas”? Itupun kolahnya dah dikubang oleh ‘kerbau-kerbau’ cerdik dan comel pada hari sebelumnya dan hanya pancuran air saja yang tinggal. Amacam? ‘Meriah’ bukan?

Berbalik pada kemajuan kampung gua, apa yang gua perasan semasa berdiri ditangga masjid sambil menghadap pintu masuk kawasan masjid, sistem pengangkutan rakyatnya semakin ekselen. Setakat Proton Saga, Iswara, Wira, Kancil, kereta cap Norman Hakim, cap Azwan Ali dan sekitarnya dah jarang-jarang kelihatan. Semuanya hanya bertindak sebagai pengangkutan di kebun-kebun saja. Kini semuanya dikuasai oleh nama-nama yang lebih urban. Civic, Accord, Odissey, Caldina, Estima, Vios, Stream mahupun Myvi. Walaupun begitu, hanya segelintir saja yang nasib pengangkutan utama mereka masih pada takuk lama. Itupun sebab anak-anak mereka mungkin lebih sibuk bermain guli dan melastik burung sedangkan rakan seumurnya sibuk mengira sifir Matematik 7 x 7 menggunakan batang lidi kelapa di sekolah. Bapaknya pula tidak endah dan entah sudah berapa kali naik ‘haji’ di warung Pakleh sambil mulut mancampuri kekotoran politik negara sedangkan bapak-bapak lain, selesai saja bersarapan cucur pisang cicah susu ataupun gula dengan teh-o nukilan isteri tercinta masing-masing, lebih sibuk memerah keringat bagi menghadapi lawan yang buas dan garang si kelapa sawit. Tuhan maha adil bukan?

Selain itu, kemajuan yang lain buat gua sedikit tergamam adalah di malam raya. Sesudah saja tarikh raya dikonpemkan oleh duli-duli, pelbagai jenis bunga api dan mercun tercetus bergelimpangan di langit tinggi. Tanderklep, Roket, Osama, Bateri, Ketupat, Bola, Cina dan entah apa nama panggilan yang semua pelik-pelik pun gua tak pernah update ambil tahu. Yang gua tahu, semuanya setanding dengan sambutan pada Malam Kemerdekaan, Malam Tahun Baru, Tahun Baru Cina mahupun Upacara Menghalau Hantu yang gua cuma tengok melalui televisyen. Perghh!!! Cuma apa yang kurang hanyalah, pada esok harinya, jarang kelihatan kondom serta botolan minuman keras bersepah sana-sini. Mungkin ‘mereka’ lebih sibuk membasuh moto kasi kilat-kilat untuk ronda-ronda pusing kampung pada esok hari kelak. Tidakpun, mungkin masih leka melepak di kedai makan Pakleh dekat simpang masuk kampung secara beramai-ramai, bercerita pasal kilang masing-masing sambil menjeling motor baru masing-masing sempena raya. Sportsrim, Wili, wikang, bohsia, Jalan Pahang, polis tembak mata polis, Anita Sarawak, botox, Catherine Zeta-Jones bakal janda sebab lakinya kena kanser, Pung pang pung pang sampai subuh. Benda yang sama tiap-tiap tahun. Cuma jenis kerjanya atau lokasi kilangnya saja yang akan berubah.

Sesi beraya keluarga gua pun agak boleh tahan juga dia punya semangat tahun ini. Tiga hari raya pertama macam biasa, rumah mak bapak gua di Muadzam Shah, Negeri Najib a.ka. Negeri Pahang. Saudara terdekat yang keluarga gua sempat pergi pun hanyalah sampai ke Segamat, Johor sahaja. Raya keempat hingga keenam, gua, adik perempuan gua serta mak bapak gua, mula memulakan langkah beraya di kampung gua iaitu di Kuala Kurau, Perak untuk menziarahi kubur TokWan dan TokYam (makbapak bapak gua). Sempatlah kami menjenguk saudara mara di sekitar Parit Buntar, Taiping dan Sri Iskandar serta Simpang Ampat, Penang. Disamping beraya, mainset gua pun tertumpu kepada port-port makan yang dah lama gua tak pekena. Nasi Ketam Kuala Juru, Nasi Daging kepala Batas, Charkuewteow Permatang Pauh, Nasi Kandar Line Clear, Mee Udang Kuala Sepetang, Mee Udang Kuala Gula, Gulai Semilang Ban Pecah Tanjung Piandang, Bubur-bubur di Titi Gantung dan Mee Rebus Ramli Ipoh. Malangnya, dari semua, hanya Mee Udang Kuala Gula saja yang tercapai. Yang lain masih tutup cuti raya. Masa juga macam cilaka, mencemburui gua sebuta-butanya!

Ondeway balik Pahang, bapak gua kasi hint mahu singgah beraya ke kampong belah mak gua pula di Sekinchan, Selangor. Alang-alang ke KL, ikut jalan pantai katanya. Gua kira-kira ada dalam 4 5 buah rumah juga yang perlu kasi salam jika sampai sana. Koman-koman mahu beratus-ratus kali juga kaki kiri gua kena tekan clutch. Gua pandang Kancil 850 bapak gua;

“Amacam Cil, lu larat lagi tak? Dahlah lu bisu (radio rosak)!” Gua tanya dengan tegas.

Kancil tunduk sambil mengelap peluh di dahinya. Bajunya habis basah kuyup seperti telah sengit bermain badminton dengan menewaskan tebuan tanah dengan kemenangan rubber set. Lututnya nampak sedikit menggeletar. Matanya kemerah-merahan. Buku lalinya terseliuh akibat terpijak lubang ketika melalui jalan kampung sekitar Trong dan Beruas. Mulutnya tetap bisu. Akhirnya, Kancil terduduk secara tersimpuh sambil terumbang-ambing paru-parunya menghela nafas lelah. Gua akur dengan kudrat Kancil. Kalau gua naik ‘Kuda’, beraya sampai ke Rusia pun gua takdehal. Selangor cancelled!

Gua pun dah akur dengan kudrat gua nak menaip ini entry. Letih dol. Banyak lagi gua boleh cerita tapi gua dah tak larat. Kalau luorang nak juga, kelak bila gua ngeteh, lu orang datang ngeteh sekali. Setiap detik raya, seperti macam mana gua berak sambil beraya pun selamber gua boleh gambarkan dengan terperinci buat lu orang. Gua nak letak gambar, tapi kamera gua haram gua tak sentuh langsung. Sekeping gambar pun tarak. Lu tahulah apa akan terjadi bila kanak-kanak jumpa satu ‘permainan’ yang boleh keluarkan gambar muka mereka serta ia mengeluarkan cahaya (flash)? Baik gua simpan dalam beg, letak bawah katil diam-diam.

Oklah, gua nak habiskan ‘Tapai’ gua. Raya tadi tak dapat pekena. Chow.

Kah Kah Kah! Kah Kah kah!

5 comments:

  1. seronok kan dpt beraya di kmpg halaman...tambah2 perantau macam en razak ni..walaupun penat tp mesti best kn...
    kalau kat sarawak menu hr raya die same ke mcm kat semenanjung??

    ReplyDelete
  2. hello razak! pe kata kau tulis novel, cerpen ke... tp confirm bnyk kena tapis sbb bahasa kasar sgt kan.. itu editor blh tlg tapis.. tp ko mmg ada bakat menulis.. n dpd blog ko ni aku rasa ko ada bnyk masa gak... kehkehkeh....:p

    ReplyDelete
  3. ajak..pe kata ko ganti kan karam sigh walia...ehhe

    ReplyDelete
  4. ape2 pn, selalunya aku akan tersenyum sorg2 depan laptop, sambil semua stress aku berterbangan tah kemana bila baca blog ko jax...thanks bro...ngeh3 ;p

    ReplyDelete