Sunday, April 4, 2010

Malamnya Mereka Masih Bertanya

Entry sebelum ini, gua ada cerita pasal mak bapak gua yang dah mula sibuk tanya pasal jodoh gua. Dulu masa bersarapan makan cokodok. Sekarang depa buat hal masa tengah makan malam pula. Itu pasal semua menu yang gua request, mak gua tanpa mengeluh siapkan. Labu masak lemak, ikan temenung goreng rangup, sambal tumis tempe dan sambal belacan. Gua ingat dalam tiga kali juga gua tambah nasi.

***

“Hang bila nak kahwin ni?” Mak gua buat hal tiba-tiba sambil jarinya berhati-hati mencubit lauk ikan temenung goreng. Ada 3 ekor dalam pinggan Corelle, jenama yang mahal gila sebab geng surirumah cakap, bila jatuh tak pecah. Tak silap gua, dia beli kat Langkawi masa makan angin dulu. Gua pernah cuba untuk bereksperimen jatuhkan depan mak gua tapi tak sampai hati sebab mak gua tunjuk mata pisau depan biji mata gua. Gila lu!


Gua senyum, buat-buat bisu.

“Entah, umuq hang dah brapa dah? 26? 27?” Bapak gua mula menambah. Semua jarinya pula sibuk mengetuk permukaan pinggan berkali-kali untuk menjatuhkan nasi yang melekat sebelum suapan seterusnya boleh dilakukan. Beginilah akibat jikalau anak ada 10 orang. Berpeluh juga mencongak umur anak yang ke-7nya dengan betul. Istilah parti harijadi memang tak pernah sambut. Jangankan pula kata nak sewa badut? Mustahil. Sambutan Maulidur Rasul adalah.


Gua senyum lagi. Kali ini lebih lebar sebab bapak gua teka umur gua tak mengena.

Cuba mengelak pandangan mereka, gua alihkan pandangan pada lauk-pauk depan mata. Ikan temenung dalam pinggan saja cari pasal bisik-bisik sambil ketawa kecil-kecilan sesama sendiri. Bikin panas, gua kasi karate tiga das pada tengkuk masing-masing. Biadap. Mak bapak gua pun terkejut dengan tindakan berani gua.


“Ai, tanya pun marah ka?” Balas bapak gua.

“Hehe. Taklah” Ringkas gua jawab.

“Habis, ada calon tak ni? Kalau takda, abah boleh carikan. Pak Hassan yang duduk hujung kampung tu pun dah ada tanya pasal hang. Anak perempuan dia kerja kerani kat Putrajaya. Boleh tahan juga orangnya. Segak.” Serang bapak gua secara psikologi. Suapannya terhenti 3 inci dari mulut. Bebal juga lalat yang duduk bucu meja tak ambil kesempatan hinggap.

“Ada. Jangan risau.” Tetap ringkas gua jawab. Padahal otak kian bercelaru mencana idea untuk tipu sunat.


“ Sapa?” Mak gua makin teruja. Matanya tepat arah muka gua. Ikan temenung walaupun dah patah tengkuk dalam pinggan nampak makin biadap; mereka sempat pandang gua sambil angkat ibu jari tunjuk isyarat ‘bagus’. Analoginya tak ubah macam lagak Stephen Chow dalam Kungfu Hustle. Cilaka!

“Mmmm...mmmm...Lindsay Price. Dia omputeh.” Balas gua yakin.


Kali ini mereka terbisu. Ketawa ikan temenung makin kuat gua dengar. Gua ingat nak ikut ketawa sekali tapi lagak bapak gua macam naik angin saja. Gaya kunyahannya pun makin laju. Tak jadi, gua tahan ketawa.

“Oooo..mak tau. Yang berlakon sabegai Victory dalam Lipstick Jungle tu kan?” Tiba-tiba sahaja keluar dari mulut mak gua. Gua tergamam hebat. Tak tahu pula mak gua layan Lipstick Jungle. Yang gua tahu drama bersiri Sembilu dan semua sinetron ‘slow-motion macam bongok’ Indon saja yang dia layan.


Ppangggggg!!!! Bapak gua pula kasi karate. Keadaan ikan temenung tadi gua nampak dah jadi macam stok untuk bagi kucing dah. Mereka bertiga memang biadap. Nah! Padan muka.

Sepanjang makan gua sengih. Mak gua pun lebih kurang. Berangan gamaknya dapat menantu omputeh.

Gua rasa, ada jodoh gua atas kepala, tapi gua masih belum cuba dongak. Nantilah.

*** Gambar sebagai inisiatif untuk majalah Mangga. Tak banyak, 3 ribu sahaja. OK kot.

2 comments: