Sunday, March 28, 2010

Semah & Jijah #2

Gua duduk di antara Kasim dan Firoz. Syukri sama sekali gua tak akan duduk sebelah takut bila sangat teruja berbual, habis air liurnya bersepah bertempiasan. Kadang-kadang sampai kelompok buih warna putih ada tepi bibir. Macam mulut Shabery Cheek masa perdebatan hangat dengan Anwar Ibrahim pasal isu keuntungan Petronas dulu-dulu? Sampaikan lu orang yang tonton depan tv yang lebih-lebih tak tentu pasal sibuk lap bibir masing-masing. Apahal? Jijik? Nah...

Cuba bersikap mulia, gua hulur tangan. Cukuplah bersalam dalam lagak nak tak nak saja. Mulut masih segan bersuara. Hanya senyuman sinis yang gua lempar sambil semua barang dalam poket gua keluarkan. Selesa sikit untuk punggung berlabuh. Henpon Nokia 1202 yang baru gua angkat kelmarin, dompet dan kunci kereta gua taruk atas meja. Dompet paling bawah, diikuti henpon dan kunci; ikut aturan saiz.

Atas meja depan Syukri, gua nampak ada Iphone. Canggih! Kasim pula agak berlagak dengan Blackberry-nya, padahal email haram entah ada atau tidak. Dulu dia buta IT tahap tegar. Bilamasa nak masuk kelas komputer saja, nervous Kasim dah macam nervous tengah beratur tunggu giliran suntikan BCG. Peluh bercucuran sampai basah seluar dalam. Firoz pula macam biasa, aksesorinya semua lapuk-lapuk belaka; Nokia 3310 saja. Kondisinya entah berapa kali entah sudah jatuh terhempas. Barai gila. Bolehlah guna sebagai senjata untuk halau anjing liar.

“ Amacam? Okay ke semua?” Ringkas gua cuba mulakan pergaulan sambil masih malu-malu.

“ Oh, kami semua disini syukur Alhamdulillah sihat-sihat saja. Engkau bagaimana pula ya?” Balas Syukri yang agak mula teruja untuk berbual. Patutlah ayatnya agak berbunga dan rasa nak bagi pelempang pun ada skemanya. Sempatlah setitik dua air liurnya terpacul di tangan Firoz. Kasim pandai pula, tangannya awal-awal lagi sudah bersedia mengelak.

“Aku macam ni lah. Makin kurus, tapi makin kacak” Balas gua sengaja cuba menjengkelkan keadaan.

“Ceh!” Firoz mencelah sambil tangan kanannya digenggam erat seperti ingin menumbuk. Kasim pula terangguk-angguk kecil mengakui. Lidah kelu agaknya. Syukri pula tak pasal-pasal tiba-tiba membetulkan rambutnya yang jatuh ke dahi secara perlahan-lahan ke atas, takut jikalau mengganggu rekabentuk rambutnya yang lain. Ah! Nak juga.

Berjaya menjengkelkan, gua senyum manis sambil melambai tangan ke arah kaunter. Minta order.

“ Order apa bang?” Tanya seorang perempuan berambut kerinting berwarna keperangan kekaratan. Keningnya nipis habis dicukur. Make-upnya sungguh tak menjadi sekali. Mukanya amat putih akibat tompokan bedak murahan pasar malam. Malangnya, lengan dan kakinya hitam dan agak berkeladak pula tu. Dengan berbaby-tee jenama Prada, berskinny jeans berkeratan low-waist dari Levis Siam sehinggakan terbit lurah punggung dan juga dengan berselipar jepun bewarna pink muda, semuanya lebih berat kepada dress-up seorang minah rempit. Susan Boyle dan Amy Winehouse lagi cun gua rasa.

“ Minum.. sirap limau. Makan...mmm...nantilah, saya nak tengok lauk nasi campur dulu” Balas gua sambil tangan bermain-main dengan kunci kereta.

“So, apa projek korang ajak aku lepak sini?” Gua tanya secara umum dengan pandangan lebih menghala kepada Kasim dan Firoz. Syukri sengaja gua tak pandang sangat. Takut kesian pula pada Firoz tangan basah kuyup nanti.

“Kitorang ada hal sikit ni. Ingat nak minta tolong ko Jak. Boleh tak?” Jawab Syukri tanpa rasa bersalah walaupun kurang dipandang. Cilaka, agak hebat, kali ini Firoz lebih bersedia. Tempias air liur yang terpacul keluar, berjaya dielak dan hinggap kemas di atas meja. Nyaris juga ia singgah kedalam air Barli Ais yang diorder Kasim. Kasim menjeling lega. Firoz hanya boleh tersenyum syukur bak terlepas dari seksaan neraka.

“Tolong apa? Bunyi macam kes berat je?” Balas gua runsing. Otak dah fikir bukan-bukan. ‘Kasim buntingkan anak ketua kampong’, ‘Syukri kantoi mengedar ganja’ ataupun ‘Firoz ditangkap mencuri spek mata di butik Oakley’? Semuanya agak masuk akal juga.

“ Jom teman kitorang pergi KK, Sabah.” Akhirnya Kasim bersuara. Buat pertama kalinya, selepas kali terakhir gua dengar Kasim bercakap dengan gua adalah 7 tahun dahulu. Itupun sebab gua kutuk dia. “Brengset ajak”, itu sajapun yang Kasim balas.

Kasim jenis yang jarang bersuara sebab dia beranggapan suaranya tidak sedap, lebih kepada suara anjing laut. Sifat rendah dirinya itu mula berlaku pada kenduri perkahwinan kakaknya. Dengan cuaca yang sungguh baik ketika pengantin sedang bersanding dijinjang pelamin (tema ‘Perkahwinan Dalam Taman’), dengan lagak Amy Search, Kasim menuju ke live-band kenduri ingin mempersembahkan sebuah lagu khas buat kakaknya. Malangnya, baru sahaja lirik masuk baris kedua, kilat tiba-tiba muncul sambil petir sabung-menyabung. Ribut taufan yang ganas terus melanda sehingga berterbangan semua khemah sehinggakan semua tetamu lari lintang pukang. Hanya tinggal pasangan pengantin dan pemain-pemain kompang sahaja. Itupun kerana mereka semua jemputan khas dari Rumah Orang Kurang Upaya Sentosa untuk mereka yang buta dan pekak. Sejak kisah itu Kasim amat rendah diri tentang suaranya dan hidup menderita.

Gua tergamam.

***

Bersambung...

No comments:

Post a Comment