Thursday, February 18, 2010

Semah Dan Jijah

Saja gua nak tulis hari ini. Boring.

Sebab boring jugalah gua pergi Sembahyang Jumaat awal sejam. Tido. Solehah bukan?

...


Tajuk Cerita : Misi Mencari Semah Dan Jijah.

Gambar hiasan : Aleya & Hada (anak buah gua)

Tapp..tapp..

Dua kali bunyi detikan brek tangan kereta gua tarik. Memang habit gua biarkan ia berdetik dua kali. Jikalau kawasan rata, sekali saja sudah memadai. Jikalau berbukit pula, potensinya boleh mencecah 4 atau 5 kali. Setiapnya bergantung kepada naluri waspada hati dan jisim penumpang. Jika Shanie atau Kuman, mahu-mahu, berurat juga biseps dan triseps memaksa tarik sampai detikan ke-7 . Dua-dua jenis berjisim lebar. Jenis kuat makan!


Talipinggang keledar gua buka rakus bak rakun kena racun. Desibel lunak suara alunan Alanis Morissette dari sistem audio, gua rendahkan sampai bawah angka 10. Selalunya tak kurang dari angka 5. Butang aircond pula gua akan matikan terlebih dahulu sebelum butang kipas. Dan sebaliknya pula jika gua memulakan pemanduan. Semuanya mesti ikut aturan. Mesti! Runsing juga dengar kata orang tua-tua, “Mempunyai banyak habit pelik di dalam kenderaan persendirian” merupakan penyakit gila no. 23? Dem!


Sebelum keluar kereta, penampilan diri serta paras rupa mesti gua ambil kira. Sempat juga gua usha gaya serakan rambut, lombokan taik mata dan tak lupa susunan bulu hidung. Jika sehelai dua berselerak terkeluar, segera gua jolok masuk dalam guna jari. Jika tetap berdegil, tangan tak teragak-agak merentap. Berkaca juga anak mata menahan sakit. Cabut bulu ketiak pun tak sesakit begini. Cubalah kalau lu orang tak percaya?


Dengan kendiri sudah cukup bersedia, gua langkah keluar. Lagak tak ubah macam Pierce Brosnan melangkah keluar dari Aston Martin nya. Cuma gua tak bersut Armani, berjam Omega dan gua tak minum Martinie. Kereta pula Aston Milo-tin (buatan Malaysia) saja. Sambil betulkan kolar baju, gua dahului langkah dengan kaki kanan, barulah kiri mendatang. Sunat hukumnya, apa salah cari pahala sikit. Silauan terjahan tajam cahaya matahari, bikin bebola mata gua bereaksi begitu lonjong bentuknya; seperti mata seorang Cina bukit yang tak makan daging babi. Sepet sekali. Banyak kali gua kebil-kebilkan daun kelopak mata, sambil pandang sekeliling.


“Pergh! Ramai giler aweks. Tak rugi gua datang sini.” Bisik nafsu gua agak serakah.


Kereta gua betul-betul berhadapan Pusat Rekreasi Sukan Snooker Ah Kaw. Nama saja pusat rekreasi sukan, tapi keadaan anak tangganya yang menuju ke tingkat atas, tak kurang bak Pusat Pelacuran Ah Sow. Bau Ammonia pula berterbangan sana-sini. Manusia dan anjing sama saja perangai. Tak bertamadun. Gua berlalu…


Dalam beberapa lot kedai, akhirnya gua berjumpa juga dengan Kedai Makan Munzir, yang terkenal dengan nasi campurnya. Nasi setinggi bukit, berlauk ayam goreng dan bersayur sawi segar, hanya RM3 sahaja. Patutlah banyak sangat pelajar universiti saja yang berkelana di situ. Murah. Ada juga beberapa orang yang berkemeja dan bertali leher seperti seorang penjawat tinggi mengambil kesempatan berkedekut bersama. Tak termasuk gua. Gua datang jumpa kawan. Serius.


Gua tuju meja paling hujung sekali di kaki lima. Kelihatan tiga rakan lama gua; Kassim, Firoz dan Syukri sedang menunggu sabar sambil bibir dihiasi ukiran-ukiran senyuman seekor kambing di bibir. Ish! Apahal? Lagak mereka memang menjengkelkan. Kassim dengan potongan seluarnya yang senteng sehingga menampakkan logo Abibas di stoking, dijengkelkan lagi dengan lipatan bucu seluarnya yang tajam seperti mata pisau akibat diseterika keras-keras. Rasa terkongkong, gua lempar pandangan pada si Firoz pula.


Hati gua makin tak keruan dibuatnya bila lihat saja si Firoz. Tebal kacamatanya saja hamper 3 cm tinggi. Kacanya sudah lapuk dan tiada langsung sifat kejernihan dan ketelusan untuk sebuah penglihatan yang baik. Kedaannya tak ubah seperti gelas di warung kopi kampung di pedalaman Grik, Perak. Sifat sumbing saja yang bernasib baik tidak kelihatan. “Astaghfirullah” bisik lidah gua perlahan sambil kepala menggeleng kiri dan kanan dalam hayunan santai dan akhirnya terhenti kaku pada pemandangan sebuah makhluk di sebelah Firoz, Syukri.


Syukri memang seorang yang sangat petah kata-katanya disamping mempunyai intonasi lontaran bahasa yang indah seperti putera katak yang telah dicium puteri Scandinavia. Tetapi, potongan rambutnya indah kabar dari suara. Potongan rambut sisinya sangat nipis manakala bahagian atas dibiarkan tebal dengan belahan betul-betul ditengah-tengah diameter tempurung kepala bagailkan ianya diukur dahulu menggunakan pembaris sebelum mula mencana tempat jatuhan sikat. Oh, aku juga terpana dengan kehairanan. Fikiranku semakin kusut. Ditambah dengan lagak-lagak pelajar university di sekeliling yang tak habis-habis asyik bergelak ketawa, semuanya makin menjengkelkan. Huh!


“Dik, ada orang tak?” Tanya gua pada meja sebelah untuk minta kerusi.


Kelihatan dua orang budak lelaki tengah makan dengan lahap sampai berkeliaran nasi melarikan diri sekeliling pinggan. Ada juga yang berani memanjat hingga hampir sampai ke pergelangan tangan. Sedangkan mereka berdua makan nasi berlaukkan ayam goreng saja, bersertakan kuah berwarna kuning secukup rasa. Begitu lapar sekali mungkin. Mungkin juga itulah makanan untuk makan malam sekali. Memang itulah pengorbanan seorang pelajar tak berkemampuan. Kesian. Dr. Fazley saja yang suka tengahari makan KFC masa belajar dulu-dulu. Patutlah PhD tak diiktiraf. Jenis semua nak senang tanpa pengorbanan. Cit!


“Takde bang” Balas budak di sebelah kanan gua. Sempat juga 2 3 biji nasi terpacul keluar dari mulutnya. Ada yang putih, ada yang kuning. Hish!


Mereka meneruskan makan. Kadangkala, sempat juga budak yang menjawab tadi mencubit ayam goreng kawannya di sebelah. Mencuri. Gua menggelengkan kepala lagi sambil mengheret kerusi ke meja sebelah, meja yang dihuni Kasim, Firoz dan Syukri tadi.


Bersambung...

No comments:

Post a Comment