Sunday, June 12, 2011

Demi Sirap Bersama Gaban


Sekejap-sekejap, gua lirik pada lengan. Sekejap –sekejap, gua lirik lagi. Saat itu, jarum saat pada jam Boy London gua adalah pada tahap sifat dengki yang paling tinggi. Terlalu perlahan lariannya. Gua perasan Latep yang duduk sebelah pun dah lebih kurang sama. Sekejap-sekejap, lirik jam digital jenama Timberland-nya yang kononnya dibeli di Segamat, sebuah bandar, tidak seperti jam gua yang hanya pembelian dari pasar malam Felda sahaja. Itupun setelah puas gua menangis, menjerit dan berpusing seperti gasing di atas tanah betul-betul di depan gerai Ghani Lempeng, di tengah-tengah pasar malam. Apa tak jatuh air muka bapak gua? Bagi kami sekelas, jam Latep dikira cukup ‘rare’. Dari Segamat. Bukan senang-senang dapat ke sana kalau bukan hanya ketika menjelang Hari Raya. Patutlah berlagaknya bukan main. Cilaka.

Pernah suatu ketika gua berjaya tipu Latep bulat-bulat. Gua bagitahu, walaupun dibeli di pasar malam, jam gua tetap lebih hebat dan bukan sebarangan. Ia buatan dari London sebab ada perkataan London dan juga bersuhu empat musim yang digambarkan dengan warnanya yang berubah ikut musim. Sebaliknya jam beliau hanyalah buatan Malaysia sahaja iaitu dari Ulu Timberland, sebuah kampong di pedalaman Pahang yang dipenuhi hutan belantara, gajah liar dan manusia Neanderthal berpakaian cawat yang hanya pandai melihat jam jenis bernombor sahaja. Kerana tergolong antara budak yang bodoh, sejak itu hati Latep terus jadi tak keruan dan seringkali sibuk mengajak ayahnya ke Kelumpo cari jam baru yang lebih dasyat hebatnya. Jenama Omega barangkali. Buatan Swizerland. Jam James Bond!

Tepat lagi 5 minit, loceng akan berbunyi tanda kelas Bahasa Arab akan tamat. Gua dah standby untuk kemas-kemas. Ustaz Nuri di depan masih cekal melukis gambar gajah di papan hitam guna kapur. Hari ini belajar nama binatang. Sekali-sekala bunyi yang ngilu terhasil sampai terangkat juga bahu-bahu kami sekelas terutama ketika bahagian gigi gajah dilukiskan sedangkan ikut logik akal, apa perlu gajah dilukiskan gigi? Adakalanya, lukisan ‘gajah’ Ustaz Nuri adalah lebih berat kepada seekor tenggiling berbelalai tapi tidak pula kami membantah. Membuang waktu sahaja. Kami mahu cepat pulang. Gaban menunggu kami minum sirap ais didepannya. Ah! Nikmat sekali.

Walaupun tangan Ustaz Nuri kurang seninya, tapi beliau ada mata yang cukup redup dan enak dipandang. Genetik itu tidak sia-sia kerana turut diturunkan kepada anak gadis beliau, Nurin iaitu senior gua setahun. Maka, pergi tandas merupakan kerja yang sungguh didambakan pelajar lelaki kerana akan cuba sedaya upaya untuk melintasi kelas Nurin dan mengharapkan satu jenis kerlingan yang lebih hebat dari kehebatan tumbukan Gaban dan boleh saja bikin tak tidur malam. Tapi awas, sebelah Nurin ada Zainab yang giginya rongak bagai telah hilang dilarikan tikus. Jika salah terkena kerlingan boleh bikin tak berselera makan malam seperti yang pernah dialami Latep. Biarpun ayam Kentaki. Nah!

Dalam lima minit terakhir itu, rakan sekelas dah macam-macam gaya . Semua jadi tak keruan dan menggelupur tak tentu pasal. Gua pun apa kurang. Ejaan ‘filun’ yang maksudnya adalah ‘gajah’ tak berjaya gua tamatkan. Belum sempat sampai huruf ‘nun’, gua dah tutup buku. Pensil tekan hasil hadiah ‘Matematik Terbaik’ gua campak dalam beg sanding sisi warna hitam yang tercoret perkataan Iron Maiden hasil dari liquid paper, seni agung yang gua pelajari dari baju-baju Keri, budak otai yang selalu lepak sambil main gitar dekat simpang depan rumah gua. Tak lupa getah pemadam yang gua menang hasil tikam turut gua campak dalam beg, sekali dengan pembaris, rezeki yang gua jumpa atas lantai minggu lepas. Keadaan kian huru hara. Bising.

Ustaz Nuri yang masih pegang kapur kini diam, matanya melilau sekeliling, terpaku. Di papan hitam, bersebelahan seekor gajah, lukisan seekor zirafah masih belum sempat siap terutama bahagian leher ke atas. Rasanya beliau perlu berjengket ataupun cukup sekadar dengan lukis zirafah tengah tunduk minum air jika malu untuk memanjat kerusi. Tak diduga, misai Ustaz Nuri mula terjongket-jongket ke atas tanda beliau dalam keadaan marah. Kelas kembali sedikit reda dan tenang. Gua yang tengah sibuk menepuk-nepuk songkok yang dipenuhi debu-debu kuning akibat main gelongsor di lereng bukit masa rehat tadi, mula terhenti. Entah macam mana, duit 20 sen baki beli kuih Burger Malaysia di kantin yang diselit dalam songkok tiba-tiba jatuh ke lantai dan menghasilkan satu-satunya bunyi ketika itu. Nah! Lebih malang, syiling 2o sen itu telah tergolek ke kaki Ustaz Nuri, jatuh terlungkup di tepi Bata-nya yang sudah kusam. Gua tak sempat kejar. Misainya kian terpacak. Aduh!

Gua keluarkan pensel semula, gua sambung huruf ‘nun’ yang tertinggal untuk lengkapkan ‘filun’. Untuk zirafah, gua tak berapa pasti jawapannya sebab Ustaz Nuri masih belum tulisnya lagi kerana lebih sibuk pandang gua. Tapi, untuk ‘Lempang’, bahasa arabnya mungkin ‘Lempangun’, huruf ‘wau’ dan ‘nun’ di tambah dihujung seperti biasa macam tipikal majoriti perkataan arab yang lain. Tapi ‘Lempang’ bukan seekor binatang! .‘Lari’ pun bukan juga. Gua tunduk, tersenyum ketat. Persetankan waktu! Fokus belajar!

Gaban cilaka!

No comments:

Post a Comment